MENU

100Kali_Khatam

Majlis khatam 100 kali Al-Quran di khemah Madinah Ramadhan,
Dataran Stadium Sultan Muhammad IV pada 17 July iaitu pada malam ke 20 Ramadhan.

Lebih 3,300 orang menyertai Majlis Khatam al-Quran 100 kali sempena Nuzul Quran pada Program Ihya' Ramadan di khemah tarawih di pekarangan Stadium Sultan Mohammed IV di sini, malam tadi.

Program anjuran kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) itu bermula selepas solat tarawih dan telah dipimpin oleh imam jemputan dari Mesir, Syeikh Hisham Abdul Bari.

Pada majlis itu, hadirin dibahagikan kepada 30 kumpulan yang membaca satu juzuk tertentu daripada al-Quran dan kesemuanya telah dihadiahkan dengan lebih 3,300 naskhah al-Quran yang disediakan hasil kutipan derma orang ramai sejak awal Ramadan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan; bekas mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan wakil Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang menaja beg mengisi al-Quran untuk dihadiahkan kepada peserta tadarus.

Tadarus beramai-ramai yang melimpah hingga ke luar khemah tersebut selesai dalam tempoh sejam sebelum majlis ditamatkan dengan ceramah bertajuk 'Indahnya al-Quran' daripada Mohd. Asri.

Antara peserta pada majlis itu adalah seorang kanak-kanak Aisyatul Awatif Zulkarnain, 5, dari Lundang, Kota Bharu yang membaca juzuk ke-24.

Aisyatul Awatif yang diiringi ibu saudaranya, Maisuri Ismail, 45, tidak menghadapi masalah besar membaca sendiri juzuk yang dikhususkan untuk kumpulannya meskipun terpaksa berhenti hampir di penghujung kerana perlu ke tandas untuk membuang air kecil.

Maisuri berkata, anak saudaranya itu belajar mengenal huruf dan kaedah bacaan sejak setahun yang lalu melalui sistem 'Al-Furqan' dan sudah boleh membaca al-Quran sejak Mei lalu dan kini tamat juzuk satu.

Ketika ditemui, Aisyatul Awatif berkata, dia sangat gembira dapat menyertai majlis khatam itu kerana amat berminat membaca al-Quran.