MENU

Cukai bandar tertunggak MPKB-BRI cecah RM26.39 juta

Cukai bandar tertunggak MPKB-BRI cecah RM26.39 juta

KOTA BHARU 23 Dis. - Ramai pemilik premis di bandar ini tidak membayar cukai bandar sehingga mengakibatkan tunggakan bernilai RM26.39 juta.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata, pihaknya setakat ini sudah membuat lawatan dan memberi surat peringatan ke atas 28,592 premis yang gagal menjelaskan cukai bandar termasuk premis kediaman dan perniagaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang masih enggan membayar tunggakan cukai bandar setelah diberi peringatan dengan menyita harta alih mereka.

“Kita telah melaksanakan tindakan sita ke atas 705 premis dengan nilai tunggakan RM1.11 juta, di mana 21 premis telah dirampas harta alih manakala 97 premis lagi bakal disita harta alih jika masih terus ingkar.

“Tindakan ini dibuat mengikut peruntukan Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Tindakan menyita harta alih akan terus diadakan dari semasa ke semasa dan keutamaan adalah premis-premis yang mempunyai tunggakan cukai yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Tuan Zainal Abidin, pihaknya telah memulakan tindakan menyita harta alih bagi premis yang gagal menjelaskan tunggakan cukai bandar sejak 11 Ogos lalu dan operasi yang dilakukan enam hari seminggu itu berterusan sehingga kini.

“Manakala bagi premis kosong dan tiada harta alih, tindakan mahkamah akan diambil sehingga premis mereka boleh dilelong sebagaimana peruntukan Seksyen 151 akta yang sama,”katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan semua pihak berkaitan supaya menjelaskan tunggakan cukai bandar dengan segera bagi mengelak sebarang tindakan sitaan. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kelantan/cukai-bandar-tertunggak-mpkb-bri-cecah-rm26-39-juta
© Utusan Melayu (M) Bhd