MENU

MPKB-BRI perkemas perkhidmatan

FAKHRI LUDIN  |  25 Oktober 2016 12:15 AM | Utusan Online

MPKB-BRI perkemas perkhidmatan

 

KOTA BHARU 24 Okt. - Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) akan memperkemaskan perkhidmatannya untuk kemudahan rakyat khususnya di daerah ini.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Zamri Ismail berkata, sebanyak enam perkhidmatan di bawah majlis ter­sebut akan dinaiktaraf selari de­ngan perkembangan pesat di Kota Bharu.

Jelas beliau, pihaknya akan meningkatkan sistem perparitan, mengemaskini kelicinan aliran trafik dalam bandar, sistem percukaian, tingkatkan lokasi pelancong­an dan penggunaan tanah.

“Untuk permulaan kita menyediakan peruntukan kira-kira RM750,000 setahun bagi menaiktaraf sistem perparitan terutama di lokasi padat penduduk seperti kawasan bandar, Jalan Bayam, Berek 12 dan Kubang Kerian,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu katanya, MPKB-BRI berjaya memungut RM25 juta hasil kutipan cukai pintu melibatkan 70,000 premis.

Dalam pada itu, katanya, MPKB-BRI akan mengkaji semula beberapa aspek perundangan Islam untuk tujuan membudayakan cara hidup Islam di daerah ini.