MENU

Kota Bharu‘panas 48 darjah’, MPKB timbang buang penunjuk suhu 

Penunjuk suhu di simpang Telipot yang memaparkan angka 48 darjah Celsius menjadi viral dalam media sosial. — Paparan skrin Google
Penunjuk suhu di simpang Telipot yang memaparkan angka 48 darjah Celsius menjadi viral dalam media sosial

KOTA BARU, 13 April — Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) hari ini meminta orang awam merujuk Jabatan Meteorologi untuk mengetahui paras suhu semasa yang lebih tepat daripada berpandukan alat pengesan suhu yang lain.

Setiausaha MPKB-BRI Nik Mohd Noor Nik Ishak berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung suhu sehingga 48 darjah Celsius yang dipaparkan di alat penyukat suhu yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan itu di simpang Telipot hari ini yang menjadi viral dalam media sosial.

“Daripada siasatan yang dilakukan, alat penyukat suhu tersebut tidak memberikan bacaan suhu yang tepat berikutan kedudukannya di tepi jalan yang panas selain dikelilingi bangunan dan pelbagai faktor lain.

“Berikutan itu MPKB akan membuat kajian lanjut sama ada untuk mengekalkan atau menanggalkan alat tersebut bagi mengelak kekeliruan orang awam,”katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Nik Mohd Noor berkata orang awam dinasihatkan tidak cemas dengan bacaan yang telah diviralkan itu sebaliknya merujuk kepada Jabatan Meteorologi untuk mengesahkan bacaan suhu yang tepat.

alat penyukat suhu

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Kelantan Maqrum Fadzli Mohd  Fahmi berkata pelbagai faktor termasuk pendedahan kepada persekitaran yang panas, dikelilingi bangunan atau berdekatan dengan bahan besi boleh mempengaruhi ketepatan bacaan suhu.

“Oleh sebab itu, kita syorkan orang awam merujuk kepada Jabatan Meteorologi untuk mendapatkan bacaan suhu lebih tepat kerana kita menggunakan prosedur standard berbanding dengan berpandukan telefon, aplikasi penyukat suhu di dalam kereta atau yang dipasang di kawasan lain,” katanya.

Katanya, orang awam perlu mendapatkan maklumat yang tepat serta tidak mudah percaya kepada viral yang tersebar bagi mengelak kekeliruan yang boleh menimbulkan kerisauan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, katanya, suhu di Kelantan hari ini turun kepada 36.8 darjah Celsius berbanding 38.9 darjah celsius yang direkodkan semalam.

Beliau berkata suhu tersebut direkodkan di jajahan Kuala Krai pada pukul 2 petang tadi. — Bernama