MENU

ISNIN, 17 OKTOBER 2016 - Berita Harian
AADK, MPKB-BRI musnah sarang penagih

Anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menjalankan operasi pembersihan tempat penagih dadah di simpang tiga jalan Pasir Hor-Pasir Tumboh di sini. - Foto ihsan ADDK Kelantan

KOTA BHARU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) melancarkan operasi memusnahkan sarang penagih dadah di Kampung Pasir Hor, dekat sini, hari ini. Operasi membabitkan 40 anggota itu turut disertai kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, Skuad 1Malaysia serta masyarakat setempat. Pegawai AADK Kota Bharu, Shahril Jusoh, berkata pihaknya yakin sarang penagih di kampung itu menjadi tempat mereka melepas gian sejak lebih enam bulan lalu, dengan antara tujuh hingga 10 penagih berada di sini pada satu-satu masa. Sepanjang tahun ini, katanya, 10 sarang penagih dadah di sekitar Kota Bharu dimusnahkan manakala AADK mengenal pasti tiga lagi lokasi di sekitar daerah ini. "Antara barangan ditemui dalam operasi memusnahkan sarang penagih di Kampung Pasir Hor hari ini ialah jarum, penyedut minuman, parang, cangkul dan pengepit besi yang dipercayai untuk kegiatan pecah rumah. "Kita akan melakukan dua tahap pembersihan iaitu menangkap penagih dan membersihkan kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pembersihan sarang penagih dadah di Kampung Pasir Hor, dekat sini, hari ini. Shahril berkata, pihaknya akan mengadakan program 'Camp Shield' dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta ibu bapa untuk memantau pelajar yang terbabit dengan dadah. Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Kota Bharu, Mohamad Ali, berkata program berkenaan didapati memberi kesan positif apabila berlaku penurunan bilangan penagih dan sarang penagih dadah di daerah ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/203097